Menahan Marah Suatu Keutamaan
عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَجَرَّعَ عَبْدٌ جَرْعَةً أَفْضَلَ عِنْدَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ جَرْعَةِ غَيْظٍ يَكْظِمُهَا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ تَعَالَى
Daripada Ibnu Umar RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang hamba menahan sesuatu yang lebih utama di sisi Allah daripada ia menahan amarah. Ia menahannya kerana mencari ridha Allah Ta'ala." (HR Ahmad No: 5842) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Marah adalah sifat semula jadi pada setiap manusia. Ia perlu dikawal agar tidak berlebihan dan melampaui batas hingga terkeluar dari kewarasan dan kematangan akal serta tuntutan agama.
2. Keutamaan seorang Muslim ialah menahan sifat amarah.
3. Islam mengajar agar mengawal dan menahan sifat amarah semata-mata kerana mencari keredaan Allah.
4. Nasihat Rasulullah SAW kepada sahabat seperti yang diriwayatkan Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَجُلاً، قَالَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَوْصِنِي. قَالَ " لاَ تَغْضَبْ ". فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ " لاَ تَغْضَبْ
Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali. (HR Bukhari No: 6116)
5. Allah SWT menyifatkan antara ciri orang yang beriman dan bertawakkal kepada-Nya:
وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ
...dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan. (as-Syura ayat 37)
Berlatihlah menahan sifat amarah kerana mencari keredaan Allah.
Kiriman Gus Agus Santoso - NAHDLATUL ULAMA
Posting Komentar