PESAN HABIB UMAR BIN HAFIDZ KETIKA PEMBERANGKATAN JENAZAH HABIB ALI MASYHUR BIN HAFIDZ
Ketika solat jenazah Al-Marhum Al-Habib Ali Al-Masyhur dilaksanakan di kota Tarim, Hadhramaut sebentar tadi, Al-Habib Umar bin Muhammad bin Hafidz telah mengingatkan para hadirin bahawa kematian adalah satu perkara yang pasti menimpa setiap yang bernyawa.
Kemudian Al-Habib Umar sempat bercerita sedikit tentang kekanda beliau Al-Habib Ali Al-Masyhur :
''Beliau telah banyak mendapat kesusahan ketika zaman pemerintahan komunis (di Yaman) dahulu. Ketika ayah kami telah diculik oleh pihak komunis. Beliau pernah diancam dengan senapang diacukan ke tengkuk beliau.
Beliau selalu menceriakan orang kelilingnya. Beliau sangat menjaga hubungannya dengan orang-orang lama di Wadi Hadhramaut ini. Beliau banyak membantu masyarakat dan mendamaikan perselisihan antara mereka.
Beliau mengkhususkan setiap hari Selasa untuk duduk dan menjawab segala soalan-soalan yang diajukan kepadanya. Namun hari Selasa sahaja tidak mencukupi, lalu beliau juga melakukannya pada setiap hari Sabtu juga. Beliau akan duduk dari pagi sehingga petang. Beliau menolak segala jemputan atau kenduri yang bertepatan pada hari tersebut, sekalipun undangan itu dari kaum keluarganya sendiri.
(Beliau tetap istiqomah) Sekalipun ketika jasad beliau mula berasa lemah. Pada malam tadi, beliau ingin mendirikan solat Maghrib walhal waktu Maghrib belum tiba. Kami berkata kepada beliau, 'waktu Maghrib belum tiba.' Setelah adzan Maghrib, beliau bangun dan mengambil wudhu. Beliau solat Maghrib dan Isyak secara jamak taqdim. Setelah selesai solat, beliau membaca ratib. Menghadiahkan surah Al-Fatihah. Dan membaca qasidah doa. Dan seisi keluarga dirumah sama-sama membaca qasidah doa itu bersama-sama beliau.
Tidak lama kemudian, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau telah meninggalkan dunia yang meletihkan ini."
Al-Habib Umar berkata lagi :
"Orang yang menang hanyalah orang yang menghampirkan dirinya dengan ALLAH! Para salafus soleh terdahulu tidak rela, walau sebesar debu, untuk mengikut jejak langkah musuh-musuh ALLAH! Kemuliaan, kehebatan dan kejayaan kita dunia dan akhirat hanya dalam mengamalkan perintah ALLAH yang datang melalui Nabi Muhammad! Dialah ALLAH! Pencipta kita! Dialah Pemberi rezeki kepada kita! Dan kita akan kembali kepada Allah! Syariat La ilaha illa Allah ini membawa keselamatan untuk sekalian alam! Inilah yang diajar dalam sistem pengajian di Hadhramaut ... juga di madrasah-madrasah para solihin di seluruh dunia, timur dan barat...''
Terjemahan ringkas :
Ashraff Osman
26.05.2020
Kiriman Gus Muhammad Zainal Adib
Posting Komentar